"Saya biarkan Adi, berurusan di kaunter. Malu untuk tunjukkan muka kepada penjaga kaunter. Adi memberikan kunci bilik kepada saya. Sesampainya di bilik saya, dia turut masuk ke dalam. Saya terkejut. Dengan muka yang letih, Adi kata yang semua bilik sudah penuh. Dia menambah, jika saya tak izinkan, dia sanggup tidur di luar bilik. Kesian dengan keadaannya, saya izinkan dia di dalam. Dia berjanji tidak akan apa-apakan saya".
Air mata yang kering tadi, mula merembes kembali. Kali ini, lebih laju. Terhenjut-henjut bahunya menahan getar.
"Kak.... saya berdosa. Inilah balasan kerana saya menipu kakak saya.."
"Malam tu, kami telah berzina kak... saya..saya..saya terpujuk dengan kata-kata manis Adi, hanya dengan umpan cincin, saya serahkan semuanya".
"Saya dah lupa Tuhan kak. Padahal saya tahu, zina itu besar dosanya. Dari kecil, mak ayah saya hantar saya belajar agama". Esaknya makin kuat.. tidak cukup dengan tisu di tangan, hujung tudungnya turut digunakan untuk mengelap air mata.
Dalam sendu, dia meluahkan, "saya berdosa kak... Tuhan masih terima saya ke? Saya takut sangat-sangat Tuhan azab saya dengan api neraka..".
Lalu akak katakan padanya, "Aina, insyallah... wanita yang berzina, andai dia betul-betul ikhlas mahu bertaubat, insyallah, ALLAH taala pasti akan terima taubat hambaNYA dan dia ibarat kain yang putih bersih tanpa noda. Beruntung lah Aina..beruntunglah... jika awak termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaubat". KakZa dapat melihat senyuman di bibirnya. Wajahnya tenang.
~~~~~~
Adik-adik yang disayangi,
Itu secebis kisah yang ada di sini. Hanya kerana tarikh 14 Febuari, Aina telah terpedaya dengan godaan syaitan. Pastinya, syaitan berpesta riang pada tarikh ini, kerana dapat mengajak ramai anak-anak muda mengikuti bisikan-bisikan jahatnya. Akak percaya, bukan Aina dan Adi sahaja yang telah tewas, tapi ramai lagi di luar sana.
Malang bagi Aina, kerana Adi telah menghilangkan diri, sebaik mengetahui Aina mengandung. Mahu dicari, Aina tidak tahu di mana rumah Adi. Telefonnya juga telah ditutup. Dalam keterpaksaan, Aina memberitahu kakaknya tentang keadaan dirinya. Lantas, kepada ibu, kakak adukan masalah besar ini. Hampir pengsan ibu tua itu..menangis ibu tidak percaya dengan perkhabaran yang baru diterima. Buat sementara waktu, mereka terpaksa sembunyikan daripada ayah, kerana ayah punya penyakit jantung. Mereka sepakat untuk memasukkan Aina ke rumah pemulihan, bagi merahsiakan perut yang mula memboyot.
Itulah harga yang perlu keluarga ini bayar demi melindungi sebuah maruah. Bukan hanya maruah Aina, tapi juga maruah dan harga diri ibu dan ayah.
Adik-adik,
Ingatlah kasih sayang dan jasa yang telah ibu dan ayah curahkan buat diri adik-adik. Sungguh besar pengorbanan mereka. Membanting tulang siang dan malam demi sesuap nasi yang mahu dimasukkan ke mulut adik-adik. Kadangkala, kesihatan diri sendiri pun mereka abaikan, demi menyekolahkan adik-adik. Berbelas-belas dan berpuluh-puluh tahun mereka menjaga, dan membesarkan dirimu. Jangan dengan hanya kata-kata manis dan pujuk rayu seorang kekasih, dirimu terus melupakan dan membelakangi ibu dan ayah. Ingatlah, adik-adikku sayang, bagi seorang anak, redha ALLAH taala itu terletak pada redha ibu dan ayahnya.
Adik-adik yang akak sayang,
Bentengilah dirimu dengan iman yang teguh, kerana;
"Tidak akan berzina seorang pelacur semasa berzina jika dia beriman, dan tidak akan minum khamar (arak) ketika meminumnya jika beriman, dan tidak akan mencuri seorang pencuri jika dia beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Penuhi solat 5 waktu. Hiasi diri dengan adab sopan yang tinggi. Rajinlah menuntut ilmu, hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu. Usaha cari sahabat-sahabat yang solehah yang menjaga solatnya dan auratnya. Insyallah, walau sekencang manapun dugaan dan pujuk rayu yang datang menggila, semuanya itu, adik-adik mampu menepisnya. Kepada Rabbul ‘izzati, mulakan berdoa, agar DIA mengurniakanmu jodoh soleh yang terbaik buat DIRImu, AGAMAmu, KELUARGAmu, DUNIAmu, dan AKHIRATmu. Ameen~
Moga kita semua sentiasa dirahmati~
Kakak yang menyayangimu
ZahratunnuR