Thursday, May 12, 2016

Rindu B A B A

 

Saya masih ingat tangisan tersedu sedan si anak Rohingya ini.

10 oktober, tahun lepas, waktu itu saya dan teman teman sedang berbual ringkas dengan ibunya yg ditempatkan di Kem Lhokbani, kira kira 8 km dari pekan kecil Langsa, Aceh.

 
Anak kecil ini, bermain dengan gembira tidak jauh dari kumpulan kami. Menyepak nyepak bola. Tingkah seperti anak kecil normal lain. Sebenarnya, kami tidak terlalu menghiraukannya kerana khusyuk mendengar cerita si ibu tentang kehidupan mereka sekeluarga yg terpaksa melarikan diri dari kampung mereka di Arakan, Myanmar. 


 Dalam bahasa yg agak sukar difahami, dengan seorang penterjemah yg juga merupakan pelarian Rohingya yg sudah boleh menguasai bahasa Enggeris dan bahasa Indonesia dengan agak baik; si ibu bersungguh bercerita kesusahan dan penderitaan yg dialami. Hampir 4 bulan terumbang ambing di dalam kapal dhaif tanpa bekalan makanan di lautan luas, bersama beratus ratus yg lain. Ceritanya meleret ke kisah si suami yg berada di Malaysia kerana mencari rezki untuk keluarga juga melarikan diri dari dibunuh tentera rakhine.


Tidak semena, si anak kecil yg bermain bola tadi melempar bola ke ibunya. Membentak bentak kaki dengan tangis yg agak kuat.

Si ibu cuba memujuk. Namun tangis si anak semakin keras, tersedu sedan di atas dukungan ibu.
Rupanya, anak ini sensitif apabila perkataan "baba" disebut oleh ibunya dan kami. Hati kecil nya sarat menanggung rindu buat si bapa yg lama tidak bertemu. Mungkin juga lelah menanggung segala penderitaan yg sebenarnya kita yg dewasa ini pun tidak mampu memikulnya.


 
Kelaparan di kampung sendiri kerana dinafikan pelbagai hak. Nyawa diancam, bila bila masa sahaja boleh berpisah roh dari badan. Kehormatan yg dirobek robek. 

Kemudian, dengan segunung harapan dan keberanian mereka melarikan diri menuju Malaysia melalui samudera ganas. Membayar jumlah wang yg besar kepada ejen pemerdagangan manusia. Namun, dalam kapal yg sarat dipenuhi oleh pelarian lain, juga pencari kerja dari Bangladesh, mereka ditinggalkan begitu sahaja tanpa bekalan makanan sewaktu berada di tengah lautan. Berbulan bulan mereka harus survival. Mencatu apa yg ada. Tanpa belas ada pelarian dicampak ke laut apabila bergaduh sesama mereka. Anak kecil tidak terkecuali dicampak tanpa belas sehingga luluh hati ibu dan ayah. Juga wanita wanita yg dirogol sehingga trauma.

Saya yg mendengar, hanya mampu mengeluh panjang dalam rasa simpati yg dalam. Walaupun ini adalah kedatangan kali kedua saya ke sini secara peribadi selepas Jun 2015, ada cerita yg sama yg saya dengar, nyata emosi para pencari aman itu tetap sama. Senyum mereka dibalut duka.

Akhirnya petang itu, kami meninggalkan kem Lhokbani dengan emosi yg sarat. Terasa mahu menjerit ke seluruh dunia.. "di mana hilangnya kemanusiaan? ke mana??"

Nyata, kemanusiaan telah lama dibunuh. Dibunuh oleh kesenyapan dan hati beku kita.

#misiRohingyaAceh 2015

 

Wednesday, May 4, 2016

Selatan Thailand: seronok dan manis?


#jaulahamalselatanthailand

Iya, bukan seorang yg berkata kepada saya...
...
"seronoknya tengok gambar kak di selatan thai".

"Jeles tengok orang tu seronok seronok di Thailand".

Saya hanya boleh tersenyum apabila ditegur begini.

Andai kalian tahu debaran yg dirasa sepanjang perjalanan dan debar di dada ini semakin bertambah apabila difikirkan bahawa saya harus bertanggungjawab sepenuhnya jika musibah berlaku kepada teman sejaulah. Saat ini, kebergantungan sepenuhnya kepada Yang Maha Pelindung haruslah 100% total. Istighfar dan doa tidak lekang agar perjalanan dipermudahkan.

Sejujurnya, saya amat menitik beratkan- dengan siapa saya akan bermusafir-.
Saya memerlukan teman musafir yg positif cara fikir mereka. Kerana apabila memasuki wilayah bergolak, sesungguhnya kita akan keluar dari zon selesa yg dijalani hari hari. Tidak mengapa andai tiada pengalaman, krn yg lebih utama adalah sikap positif ini. 

                          


 Kenapa begitu?

Kerana mereka harus bersempit sempit dalam kereta, berebut tandas, kadang terpaksa menahan lapar, makan yg mungkin tidak sesuai dengan selera, tidur di tempat yg seadanya kerana mahu berjimat, juga pelbagai kemungkinan lagi yg akan berlaku.

Untuk teman ini, dari awal awal lagi sudah saya berpesan; bersedia untuk tidak bersedia
dan
Kawal emosi dengan sentiasa menunjukkan wajah manis walaupun ada hal yg tidak berkenan di hati.

Mungkin kerana ini, andai diperhatikan pada setiap foto foto kami, senyuman pasti tidak lekang dari bibir.

Alhamdulillah. Teman sejaulah yg manis.
                                 
                                
 


Emosi yg sarat.

Walau di foto, terlihat kami tersenyum riang. Namun, gelojak emosi di hati tidak lah mampu kami ekspresi kan.

Sejujurnya, apabila berdepan dengan si ibu ini yg kematian suami ketika dalam tahanan penjara tentera, saat beliau memperihalkan peribadi baik si suami terhadap anak isteri dalam alun suara yg bergetar, banyak kali beliau berhenti menarik nafas sebelum menyudah ayat. Mungkin mencari kekuatan untuk berkongsi penderitaan yg ditanggung. Di sepanjang ceritanya, saya hampir kalah dalam emosi. Nyaris turut menangis bersama si isteri yg dijandakan ini.
Tiap kali begitu, saya akan bisikkan kepada diri sendiri.. "pls.. do not cry azmiza! U've to be strong! Pls!".

Sekali, 2 kali saya berjaya menahan air mata. Namun, akhirnya saya kalah.. kalah di saat pelukan terakhir sebelum meninggalkan rumah kecil itu, beliau menangis tersedu sedan di dada ini. Perlahan saya bisikkan ke telinganya.. "Kakak kuat ya. Inshallah.. suami kakak sedang tunggu di syurga sana." Tidak mampu memeluknya lebih lama, kerana pasti sy akan turut hanyut dalam sedu sedan beliau.

Allahu Allah.. mereka 'berperang' di bawah laras senapang, mampu sekuat itu. Saya yg 'berperang' dengan emosi, nyata hampir tewas.

Mereka entah sampai bila akan begitu, hari ini hilang suami, esok lusa mungkin akan hilang anak lelaki. Saya yg hanya singgah sebentar, sekadar mampu mengusap bahu si janda dan kepala si yatim. Hari ini, kembali ke Malaysia menjalani hidup sehari hari dengan aman.



 






 Maafkan kami,
Wahai ibu ibu kami.

Maafkan kami,
Wahai kakak kakak dan adik adik kami.

Maafkan kami,
Wahai anak anak kami.

Doakan kami, diberi kekuatan dan ruang untuk kembali bersama kalian lagi.
 
 
Dicoret pada 27 mac 2016
Kuala Lumpur


Tuesday, May 3, 2016

Melakar Makna Diri

Bismillah,

Saya mulai kembali catatan di blog kerdil ini dengan ucapan salam 'assalamualaikum' sebagai pembaharu ukhuwwah.


Beberapa tahun saya tinggalkan ruang ini. Lebih banyak mencatat lembar kehidupan di Facebook sendiri. Lebih mudah dan lebih cepat mungkin, di celah keributan dan ketenangan melalui tiap takdir yg ditetapkan.

Setelah berfikir sedalamnya, dengan pujukan dan motivasi teman teman, juga mengambil kira kebaikan dan saham pahala yg ingin diperbanyakkan (mudahan begitu), saya kuatkan juga jejari ini membuka kembali ruangan perkongsian ini.


"Jika menulis itu hobi; ia mudah saat kita senang hati. Jika menulis itu misi; kita kan bersedia berdarah darah meniti jalannya". Salim A.Fillah

Kalimat berbisa dari seorang penulis 'pembangkit hati' tersohor Indonesia.


Inshallah, misi saya kali ini, saya tidak mahu tulisan di sini seakan catatan diari biasa dari manusia biasa ini. Namun, biarlah catatan di sini bisa menyebar luas sebuah misi kemanusiaan ketika menyantuni umat, agar lebih ramai lahir pencakna umat. Dan moga perkongsian di sini, mampu merimbun kebaikan dan hikmah yg dikutip di sepanjang permusafiran di dunia.


Inshallah.

Bismillah. Melakar makna diri.


Foto: singgah sebentar menyaksikan kebesaran Tuhan di bumi Sabah. Misi kembara HELWA-Borneo 2016