Thursday, May 12, 2016

Rindu B A B A

 

Saya masih ingat tangisan tersedu sedan si anak Rohingya ini.

10 oktober, tahun lepas, waktu itu saya dan teman teman sedang berbual ringkas dengan ibunya yg ditempatkan di Kem Lhokbani, kira kira 8 km dari pekan kecil Langsa, Aceh.

 
Anak kecil ini, bermain dengan gembira tidak jauh dari kumpulan kami. Menyepak nyepak bola. Tingkah seperti anak kecil normal lain. Sebenarnya, kami tidak terlalu menghiraukannya kerana khusyuk mendengar cerita si ibu tentang kehidupan mereka sekeluarga yg terpaksa melarikan diri dari kampung mereka di Arakan, Myanmar. 


 Dalam bahasa yg agak sukar difahami, dengan seorang penterjemah yg juga merupakan pelarian Rohingya yg sudah boleh menguasai bahasa Enggeris dan bahasa Indonesia dengan agak baik; si ibu bersungguh bercerita kesusahan dan penderitaan yg dialami. Hampir 4 bulan terumbang ambing di dalam kapal dhaif tanpa bekalan makanan di lautan luas, bersama beratus ratus yg lain. Ceritanya meleret ke kisah si suami yg berada di Malaysia kerana mencari rezki untuk keluarga juga melarikan diri dari dibunuh tentera rakhine.


Tidak semena, si anak kecil yg bermain bola tadi melempar bola ke ibunya. Membentak bentak kaki dengan tangis yg agak kuat.

Si ibu cuba memujuk. Namun tangis si anak semakin keras, tersedu sedan di atas dukungan ibu.
Rupanya, anak ini sensitif apabila perkataan "baba" disebut oleh ibunya dan kami. Hati kecil nya sarat menanggung rindu buat si bapa yg lama tidak bertemu. Mungkin juga lelah menanggung segala penderitaan yg sebenarnya kita yg dewasa ini pun tidak mampu memikulnya.


 
Kelaparan di kampung sendiri kerana dinafikan pelbagai hak. Nyawa diancam, bila bila masa sahaja boleh berpisah roh dari badan. Kehormatan yg dirobek robek. 

Kemudian, dengan segunung harapan dan keberanian mereka melarikan diri menuju Malaysia melalui samudera ganas. Membayar jumlah wang yg besar kepada ejen pemerdagangan manusia. Namun, dalam kapal yg sarat dipenuhi oleh pelarian lain, juga pencari kerja dari Bangladesh, mereka ditinggalkan begitu sahaja tanpa bekalan makanan sewaktu berada di tengah lautan. Berbulan bulan mereka harus survival. Mencatu apa yg ada. Tanpa belas ada pelarian dicampak ke laut apabila bergaduh sesama mereka. Anak kecil tidak terkecuali dicampak tanpa belas sehingga luluh hati ibu dan ayah. Juga wanita wanita yg dirogol sehingga trauma.

Saya yg mendengar, hanya mampu mengeluh panjang dalam rasa simpati yg dalam. Walaupun ini adalah kedatangan kali kedua saya ke sini secara peribadi selepas Jun 2015, ada cerita yg sama yg saya dengar, nyata emosi para pencari aman itu tetap sama. Senyum mereka dibalut duka.

Akhirnya petang itu, kami meninggalkan kem Lhokbani dengan emosi yg sarat. Terasa mahu menjerit ke seluruh dunia.. "di mana hilangnya kemanusiaan? ke mana??"

Nyata, kemanusiaan telah lama dibunuh. Dibunuh oleh kesenyapan dan hati beku kita.

#misiRohingyaAceh 2015

 

No comments:

Post a Comment